Laman Rasmi Bahagian Penyelidikan dan Inovasi

SELAMAT DATANG

KATA-KATA ALUAN DARI TIMBALAN NAIB CANSELOR
(PENYELIDIKAN & INOVASI)

Prof. Ts. Dr. Hj. Azizi bin Hj. Miskon

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Penyelidikan dan Inovasi (P&I) merupakan agenda penting bagi setiap universiti di seluruh dunia. Walaupun UPNM merupakan sebuah Universiti yang baru, agenda P&I dianggap sama penting sepertimana agenda akademik yang lain di universiti ini. UPNM bertekad untuk menerapkan budaya kecemerlangan penyelidikan di mana semua staf akademik terlibat secara aktif dalam aktiviti penyelidikan. UPNM boleh berbangga kerana ia merupakan satu-satunya institusi yang mempunyai kedudukan yang istimewa bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang yang cukup unik, iaitu, Pertahanan dan Keselamatan. Oleh kerana itu, mana-mana aktiviti penyelidikan yang dijalankan di universiti ini berkisar kepada bidang yang unik ini.

Bagi merealisasikan agenda penting ini adalah menjadi tugas universiti untuk menyediakan persekitaran penyelidikan dan inovasi yang kondusif. Pengalaman daripada institusi-institusi ternama di dunia jelas menunjukkan bahawa tugas untuk mewujudkan budaya penyelidikan yang kondusif adalah sesuatu yang amat mencabar. Terdapat banyak faktor yang akan menentukan kejayaan pemupukan budaya penyelidikan dalam institusi akademik. Salah satu faktor penting ialah keadaan yang membolehkan penyelidik menjalankan aktiviti penyelidikan mereka dalam suasana yang produktif dan bermakna. Ini hanya boleh dilakukan sekiranya dana penyelidikan boleh diperolehi dengan mudah. Dalam kegawatan ekonomi sekarang tugas untuk menyediakan dana penyelidikan dalaman agak sukar, malahan ia menjadi lebih sukar lagi untuk mendapatkan dana atau geran penyelidikan dari sumber luar. Dalam kita mengakui geran penyelidikan dan keupayaan penyelidikan adalah penting bagi penyelidik, kewujudan infrastruktur yang mencukupi juga penting. Bagi para penyelidik, kemungkinan untuk mendapatkan geran penyelidikan bergantung sepenuhnya kepada keupayaan mereka untuk mengemukakan cadangan penyelidikan yang baik kepada badan-badan pembiaya dana.

Kesemua peranan dan objektif ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik bagi Penyelidikan dan Inovasi di UPNM. Pelan strategik ini akan digunapakai sebagai rujukan dalam usaha kearah mencapai kecemerlangan penyelidikan. Dengan keazaman dan iltizam serta usaha yang berterusan oleh semua pihak, UPNM akan berjaya mencapai impiannya iaitu untuk menjadi sebuah institusi terkemuka dalam bidang penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan, bukan sahaja diperingkat negara malahan juga diperingkat serantau dan antarabangsa.

KATA-KATA ALUAN DARI PENOLONG NAIB CANSELOR
(PENYELIDIKAN & INOVASI)

Kol Prof. Dr. Khairol Amali Bin Ahmad (Bersara)

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan taufik dan hidayahnya diberi kesempatan dalam menitipkan kata aluan sebagai Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.

Penyelidikan adalah kerja yang kreatif dan sistematik yang dijalankan untuk meningkatkan pengetahuan, termasuk pengetahuan tentang manusia, budaya dan masyarakat, dan penggunaan pengetahuan ini untuk merangka aplikasi baru. Ia digunakan untuk menubuhkan atau mengesahkan fakta, mengesahkan semula hasil kerja sebelumnya, menyelesaikan masalah yang baru atau yang ada, menyokong teorem, atau mengembangkan teori baru. 

Penyelidikan, dalam pengertian paling asas ialah penerokaan yang cukup mendalam tentang satu subjek untuk mengetahui intipatinya atau sesuatu aspek yang tidak pernah dilihat mahupun disaksikan sebelum ini. Oleh itu, penyelidikan boleh ditakrifkan sebagai sistem saraf pusat untuk proses perolehan pengetahuan. Bagi  universiti, yang pengetahuan adalah sebab utama kewujudannya, kajian dan penyelidikan merupakan wadah paling penting, serta mampu memberikan pengalaman pembelajaran paling berharga.

Justeru, dalam menghadapi era pembangunan penyelidikan dan inovasi yang semakin mencabar, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi), sentiasa menilai dan melakukan penambahbaikan dalam mencorak sistem penyelidikan dan inovasi yang lebih dinamik. Transformasi penyelidikan juga merupakan agenda Kementerian Pengajian Tinggi dalam mengolah strategi penyelidikan dan inovasi agar lebih berkesan.

Akhir kata, saya berdoa agar usaha penyelidikan yang berterusan daripada para penyelidik UPNM diberkati oleh Allah s.w.t dan segala matlamat yang digariskan akan tercapai melalui usaha keras para penyelidik yang terlibat.