Laman Rasmi Bahagian Penyelidikan dan Inovasi

ETIKA PENYELIDIKAN

Etika ditakrifkan sebagai prinsip-prinsip perilaku yang baik yang dikenali juga sebagai prinsip akhlak yang didasarkan pada sistem nilai yang diterima dalam sesuatu peradaban. Dalam konteks penyelidikan di Universiti, etika dikenal pasti sebagai perilaku yang baik yang patut diikuti berdasarkan sistem nilai Universiti berkenaan yang menolak perilaku yang buruk dalam menjalani kehidupan dan kerjaya sebagai kakitangan akademik dan juga penyelidik.

Penyelidikan yang dijalankan mungkin melibatkan subjek manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bentuk-bentuk hidup yang lain, alam sekitar, jentera dan struktur, hal-hal politik dan sosial. Secara umumnya, apa-apa penyelidikan yang dijalankan oleh kakitangan (akademik dan sokongan) dan/atau pelajar hendaklah mematuhi etika dan disiplin penyelidikan yang ditentukan oleh Universiti di dalam atau di luar negara, oleh mana-mana kerajaan dan mana-mana pihak ketiga yang memberi penajaan kepada penyelidikan tersebut.